Sunday, October 5, 2008

MILIK SIAPAKAH HATI INI?


Adalah diingatkan bahawa diskusi di bawah adalah tertakluk kepada cinta terhadap yang berlainan jantina sahaja (bukan mahram).

Tanda-tanda seseorang dilamun cinta:

1. Apabila kita melihat wajahnya, jantung kita akan berdegup kencang, seolah-olah baru sahaja memenangi marathon.

2. Apabila kita melihat dia senyum, hati kita akan mencair bak biskut almond London yang diletakkan dalam kereta selama 3 hari (panas).

3. Apabila kita berbuat salah, kita akan cepat-cepat meminta maaf kepadanya kerana kita takut dia akan membenci kita selamanya, sedangkan kita menunggu hari raya untuk meminta maaf kepada kakak kita setelah menengkingnya.

4. Apabila dia tidak ketawa semasa kita membuat lawak bodoh, kita akan cepat-cepat sorokkan muka kita di bawah meja kerana bimbang muka merah kita (akibat malu melampau) akan dilihatnya.

5. Apabila dia memarahi kita, maka kita akan pulang ke rumah dengan hati yang kecewa dan kemudian frust menonggeng selama tujuh hari tujuh malam.

6. Apabila kita menyuarakan pendapat kepadanya, kita akan berharap semoga dia memahami kita dengan seadanya, walaupun selama ni memang dia tak pernah nak faham kita.

7. Apabila kita suruh dia buat sesuatu dan dia tak buat, kita akan jadi emosional dan marah-marah tak tentu pasal kat dia dan orang lain macam PMS sahaja.(simptom ini bukan untuk perempuan sahaja. Dalam situasi cintan-cintun ni kadang-kadang lelaki pun akan bertindak seperti perempuan PMS jua—bagi sesiapa yang tak tahu PMS tu apa, sila rujuk Wikipedia, the free encyclopedia).

*Adalah diingatkan bahawa simptom di atas adalah berdasarkan pemerhatian saya yang berpengalaman sebagai kaunselor cinta selama beberapa tahun(yelah tu!!!). Simptom di atas mungkin berubah mengikut jenis darah, tekanan darah, kandungan gula dalam darah, kestabilan hormon dan tahap nafsu seseorang.

Pernah tak anda mengalami simptom-simptom di atas? Kalau pernah, besar kemungkinan anda dilamun cinta. Sesiapa sahaja boleh rasa begitu. Rasa seperti di awang-awangan, tidur tak lena, mandi tak basah, makan tak kenyang, dan macam-macam lagilah. Kononnya, sedang dilamun cinta. Hai, begitulah ragamnya. Mungkin dah ramai orang tahu, tapi saya nak beritahu lagi—cinta yang hakiki hanyalah cinta kepadaNya, kepada yang Maha Esa.

Jika anda telah jatuh cinta, sila tanya soalan-soalan ini kepada diri anda:

1. Adakah aku mampu untuk menyekang nafsu aku selepas ini?

2. Adakah jantungku akan berdegup kencang kerana terpandang wajahnya atau berdegup kencang kerana takut dan bergetar hatiku setelah mendengar ayat-ayat Allah?

3. Adakah aku mampu untuk terus mengingati Yang Maha Kuasa atau selepas ini fikiran aku hanya terbayang wajahnya saja, kelembutan suaranya, keperibadiannya yang tinggi…?

4. Adakah aku hanya akan menyukainya dalam diam dan berdoa sahaja jika dia yang terbaik untukku atau aku akan cuba mendampinginya untuk mengenalinya dengan lebih dalam lagi?

5. Adakah aku akan membazirkan malamku dan kreditku dengan menelefonnya selama berjam-jam atau aku penuhkan malamku dengan mengabdikan diri kepadaNya?

6. Adakah aku akan ingat padanya setiap masa atau ingat padaNYA setiap waktu dan ketika?

7. Adakah aku akan berubah kerananya atau berubah kerana Yang Maha Esa (ini untuk kes “saya cintakan dia kerana saya nak berubah menjadi yang lebih baik”)?

8. Adakah aku akan terus bergelumang dengan maksiat (bagi yang extreme bercouple) atau mampukah aku meneruskan hubungan hanya dengan ikatan yang halal?

Bukan ini sahaja yang kita perlu tanya diri kita. Banyak lagi soalan yang perlu ditanya. Tetapi bukan soalannya yang penting, tetapi jawapannya, iaitu kata hati kita. Memang, kadang-kadang kita tidak boleh lari daripada cinta mencintai ini, tapi kita boleh berusaha untuk mengelaknya.

Bagaimana?

Tentulah dengan mengingati Allah sepanjang masa.

Cintailah seseorang itu kerana Allah (hek eleh, cakap senanglah!). ya, memang cakap senang, tapi kan kita ada Allah? Allah tahu apa yang terbaik untuk kita. Mintalah pertolongan daripadaNya. Janganlah kita memalukan agama kita sendiri dengan melakukan perkara-perkara yang Allah tak suka. Kan dalam al-Quran Allah berfirman, dan janganlah kamu mendekati zina…

Ramai lagi orang yang boleh kita cinta, sayang. Contohnya, keluarga, ayah ibu, rakan-rakan terdekat, roommate, classmate, etc… dah cukup ke kasih sayang yang kita bagi kepada mak dan ayah kita? Akak dan abang kita? Adik-adik kita? Best friend kita? Sahabat?

Kalau kita ingat perempuan/lelaki yang kita cinta tu sangatlah baik, perfect, rajin, gentleman, dan entah apa-apa lagi pujian yang boleh buat orang termuntah… Ingatlah, cuma ada seorang saja manusia yang perfect. Dia sahaja. Siapa dia?

Mestilah Rasulullah s.a.w.

Kalau kita cinta lelaki/perempuan itu, kita akan dapat syafaat ke daripada mereka?

DAA!!MESTILAH TAK!!!

Tapi kalau kita cintakan Rasulullah, dia boleh berikan syafaat di sana nanti. Dan hanya pada diri Rasulullah sajalah contoh ikutan yang terbaik…

Tapi cinta dan sayang itu subjektif. Terpulanglah kepada fikiran masing-masing untuk mentafsirkannya. Kita dah dikurniakan akal fikiran kan… Bak kata kawan saya Asmak, “tepuk dada, sakit sendiri”.

Jadi apa yang perlu kita buat?

Sudah terang lagi bersuluh, kita mintaklah tolong…

“Hanya kepada Engkaulah kami sembah dan hanya kepada Engkaulah kami memohon pertolongan.” – (al-Fatihah: 5)

Dan, sudah cukupkah cinta dan sayang yang diberikan kepada ibu dan ayah anda, sebelum anda mencurahkan cinta dan sayang anda kepada orang asing?

p.s: jika ada saya tersalah kata, atau ada fakta tak betul, atau terasa, sila beritahu saya ya. Jangan pendam dalam hati saja, kita sama-sama membaiki apa yang patut… kepada rakan-rakan saya yang terdekat, sila ingatkan saya jika saya turut mengalami salah satu daripada simptom-simptom di atas.

No comments: