Sunday, October 5, 2008

SUASANA HARI RAYA


Kedah dan Pulau Pinang: 1 Syawal disambut dalam keadaan banjir dan air memenuhi rumah - rumah mereka. Persiapan raya dibuat dalam keadaan serba sederhana kerana mereka lebih sibuk menyelamatkan harta benda akibat air yang semakin melimpah naik memenuhi kawasan rumah mereka.


Baghdad, Iraq: 1 Syawal disambut dengan letupan bom di sekitar kediaman mereka. Sejurus selepas mengerjakan solat sunat Aidilfitri, penduduk dikejutkan dengan letupan bom yang telah mengorbankan 20 orang.


Somewhere in Malaysia: 1 Syawal disambut dengan penuh meriah. Pakaian baru dipakai, juadah tradisi iaitu rendang, ketupat, lemang dan dodol disantap dan sanak-saudara dan ahli keluarga yang jauh datang berkunjung. Kanak-kanak bergembira bersama kutipan duit raya dan baju baru. Anak-anak yang tinggal jauh di bandar pulang ke kampung.


Tidakkah kita sedar bahawa betapa bersyukurnya kita berada dalam keadaan aman damai dan dapat menyambut 1 Syawal bersama keluarga dan sahabat handai, sedangkan nun jauh di sana terdapat ramai lagi saudara kita yang sengsara. Ramai lagi rakan dan saudara kita di luar sana yang menyambut 1 Syawal tanpa kehadiran orang tersayang, yang telah pergi meninggalkan mereka buat selamanya. Bagaimana pula dengan anak-anak yatim yang tidak dapat beraya bersama ibu bapa mereka? Adakah kita ingat saudara-saudara kita yang kurang bernasib baik daripada kita semasa kita gembira menyambut hari raya?


Ramai yang hanyut dalam kemeriahan hari raya, hari kemenangan setelah sebulan berpuasa. Aku juga begitu. Tetapi, kita lupa, adakah kita telah menang dengan hanya menahan lapar dan dahaga selama sebulan? Adakah kita telah memenangi peperangan kita dengan syaitan dan hawa nafsu kita sendiri, jika kita kembali kepada diri kita sebelum ramadhan?


Peringatan ini untuk rakan-rakan dan diriku sendiri: kadang-kadang, nafsu yang telah ditahan selama sebulan akan meletus apabila tibanya hari raya. Jadi, untuk menyekang nafsu daripada berleluasa, marilah kita sama-sama berpuasa sunat selama enam hari di bulan Syawal. InsyaAllah, kita akan dapat kembali berjuang melawan hawa nafsu dan mengembalikan semula suasana ramadhan yang telah berakhir. Masih belum terlambat untuk berpuasa.


Kalau tak silap, ada satu hadis Rasulullah yang mengatakan, kalau kita telah berpuasa di bulan ramadhan selama sebulan, kemudian kita sambung lagi selama enam hari di bulan syawal, maka ibaratnya kita telah berpuasa selama setahun. Nak berpuasa setahun, memang kita tak larat. Jadi, rebutlah peluang ini untuk menambahkan amalan kita. Semoga waktu ramadhan yang telah kita bazirkan itu sedikit sebanyak dapat ditampung dengan ibadah puasa sunat ini.

No comments: